Pada diri peribadi setiap manusia terdapat ‘tempat’ yang disebut ‘MAQAM DIRI‘. Tempat ini sangat penting untuk diketahui dan difahami kerana apabila sebuah maqam tersebut tidak pernah kita kunjungi atau tidak pernah kita perdulikan sama sekali maka bencanalah yang akan melanda diri baik di dunia mahupun di akhirat.
Ada waktu, kita menziarahi maqam kuburan mereka yang disayangi. Tidak dengan itu, kita bersihi kawasan sekitarnya agar nampak menawan sebaliknya, maqam diri sendiri tidak pernah di ziarahi dan naif jadinya, penuh dengan ‘rumput belukar’ sehingga bersemayamnya segala sampah dan haiwan berbisa!
Mengapa demikian terjadinya?
Iblis laknatulloh telah bersumpah di hadapan Allah SWT bahawa dia tidak akan pernah tunduk kepada Nabi Adam, bahkan agenda utamanya akan terus menggoda dan menyesatkan Adam beserta anak cucunya agar terjerumus ke lembah nista dan menjadikan koloni sesat selama-lamanya.
Dimanakah Iblis beserta kuncu-kuncunya bersemayam dan berkuasa?
Di dalam wadah kemaksiatan, amarah dan takabbur mereka bersemayam serta membangunkan kerajaannya. Makanya jangan hairan apabila pada diri peribadi seseorang manusia akan terkandung sifat-sifat tercela yang mengotori jiwa antaranya;
- Hasad – Iri hati.
- Haqad – Dengki/benci.
- Suuzzan – Prasangka buruk.
- Kibir – Sombong.
- Ujub – Merasa sempurna diri dari orang lain.
- Riya’ – Mempamerkan kelebihan.
- Suma’ – Mencari nama atau kemashuran.
- Bukhul – Kedekut.
- Hubbul Mal – Cinta kebendaan.
- Tafahur – Membanggakan diri.
- Ghadab – Pemarah.
- Qhibah – Pengumpat.
- Namimah – Menyebutkan perkataan seseorang kepada orang lain dengan maksud untuk merosak hubungan di antara keduanya.
- Kijib – Dusta.
- Khianat
- Munafik.
Di manakah Istana di dunia?
Istananya adalah diri peribadi seorang manusia!
Lantas, bagaimanakah caranya Iblis dan kuncu-kuncunya memasuki tubuh manusia?
Melalui mata mereka merasuk, melalui telinga mereka menusuk, melalui hidung mereka berjalan, melalui mulut mereka berkenderaan dengan kencangnya. Dan seterusnya, segala lubang di tubuh seseorang menjadi sarana masuknya iblis ke ‘istana nya’.
- Mulut – Jalan kepada dusta dan qhibah.
- Mata – Jalan bagi melihat yang haram.
- Hidung – Jalan menimbulkan rasa benci.
- Tangan – Jalan merosak.
- Kaki – Jalan berbuat maksiat.
- Perut – Jalan mengisi makanan haram.
- Kemaluan dan Dubur – Jalan syahwat juga berzina.
Wahai Diriku, sematkan di dalam hatimu bahawa;
Tatkala Sang Iblis sudah bersemayam di dalam dirimu dan bermaharaja lela, maka celakalah!
Kecelakaan bukan hanya di dunia tetapi berlanjutan hingga ke akhirat, Nauzubillah.
Muhammad Yuhailmy (AbuAdam)
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.
