Zikir Saidatina Juwairiyah

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saudaraku,
Berzikir setiap hari memberikan pahala yang amat besar termasuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, menghapus dosa, dan mendapatkan perlindungan dari keburukan, serta meningkatkan kualiti ibadah. 

Berikut adalah beberapa pahala yang bisa didapatkan dengan ber-dzikir setiap hari;

  • Mendekatkan Diri Kepada Allah: Berzikir adalah cara yang paling mudah dan efektif untuk mendekatkan diri kepada Allah. 
  • Menghapus Dosa: Zikir dapat menghapus dosa dan menjaga diri dari mara bahaya. 
  • Menenangkan Hati: Berzikir dapat memberikan ketenangan dan rasa aman dalam menjalani aktivitas harian. 
  • Mendapatkan Perlindungan: Berzikir dapat melindungi dari gangguan setan dan keburukan. 
  • Meningkatkan Kualitas Ibadah: Berzikir dapat meningkatkan kualitas ibadah seseorang. 
  • Mendapatkan Kebaikan dan Menghapus Dosa: Zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, dan Laa ilaaha illallah, dapat menghapus dosa dan mendatangkan kebaikan. 
  • Mendapatkan Rezeki: Zikir yang rutin dilakukan juga dapat mendatangkan rezeki dari Allah SWT. 
  • Menghindarkan Diri Dari Perbuatan Keji: Zikir dapat menghindarkan diri dari perbuatan keji.

Terdapat satu zikir yang di ajarkan oleh Baginda SAW kepada isterinya Juwairiyah R.Anha, yang sangat besar ganjarannya dan sebaik mungkin, jadikan ia sebagai amalan harian buat kita sekeluarga.

Siapakah Saidatina Juwairiyah?
Nama beliau ialah Juwairiyah Binti al-Harith Bin Abu Dhirar Bin Habib Bin ‘A’iz Bin Malik Bin Juzaimah iaitu al-Mustaliq Bin ‘Amr Bin Rabi‘ah Bin Harithah Bin ‘Amr al-Khuza‘iyyah al-Mustaliqiyyah. Beliau pada awalnya merupakan tawanan perang dalam peperangan al-Muraisi‘ yang berlaku pada tahun ke-5 Hijrah. Nama asalnya ialah Barrah, akan tetapi kemudiannya Baginda menukarnya (kepada Juwairiyah). Selain itu, beliau juga adalah di antara wanita yang paling cantik.

Imam al-Zahabi menyebut bahawa bapanya iaitu al-Harith datang bertemu dengan Nabi SAW, lalu memeluk agama Islam. Terdapat riwayat daripada Juwairiyah, beliau berkata; “Rasulullah SAW menikahiku ketika aku berusia 20 tahun.”

Begitu juga terdapat riwayat daripada al-Sya‘bi, katanya; “Rasulullah SAW memerdekakan Juwairiyah, kemudian menikahinya, dan maharnya adalah memerdekakan semua hamba (tawanan) daripada kalangan Bani al-Mustaliq.”

Ummul Mukminin Juwairiyah R.Anha meninggal dunia pada tahun 50 Hijrah. Namun, ada pendapat menyatakan, beliau meninggal dunia pada bulan Rabiul Awwal tahun 56 Hijrah. Ini merupakan pendapat al-Waqidi. Jenazah beliau disolatkan oleh Marwan dan dikatakan, beliau hidup selama 65 tahun.


Hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, daripada Juwairiyah R.Anha, bahawa;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ عِنْدِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ وَهِيَ فِي مَسْجِدِهَا ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى وَهِيَ جَالِسَةٌ، فَقَالَ:‏ مَا زِلْتِ عَلَى الْحَالِ الَّتِي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا‏.‏ قَالَتْ نَعَمْ.‏ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ الْيَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ، سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ.

Maksudnya: Nabi SAW keluar dari rumahnya pada waktu pagi ketika dia sedang mendirikan solat Subuh di tempat solat dalam rumahnya. Kemudian Baginda pulang selepas masuknya waktu Dhuha, dan mendapati Juwairiyah masih di tempat solatnya. Baginda bertanya; “Engkau masih lagi dalam keadaan seperti mana aku pergi tadi?” Juwairiyah menjawab; “Ya.” Nabi SAW pun bersabda; “Sesungguhnya aku telah menyebut empat kalimah sebanyak 3 kali. Seandainya ditimbang kalimah yang aku sebut itu dengan kalimah yang engkau sebut sejak pagi tadi, maka kalimah-kalimah yang aku sebut itu akan mengatasi kalimah-kalimah yang engkau sebut. (Kalimah-kalimah yang aku sebut ialah); ‘سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ’ (Maha Suci Allah dan pujian untukNya sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, mengikut redha-Nya kepada diriNya, menurut berat arsy-Nya, dan sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya.”)Riwayat Muslim (2726)

Hadis ini menunjukkan besarnya ganjaran pahala sesiapa yang membaca zikir ini.

Al-San’ani berkata, bahawa makna ‘سُبْحَانَ اللَّهِ’ adalah penyucian atau pembersihan daripada segala yang tidak layak bagi Allah berupa kekurangan. Kalimat ini menafikan sekutu, sahabat, anak dan seluruh yang tidak layak bagi Allah.

Al-Qastalani berkata bahawa zikir ini mengandungi empat elemen utama yang meliputi;

  • Hitungan jumlah makhluk.
  • Keluasan redha Allah
  • Timbangan Arasy.
  • Jumlah kalimah-Nya. Seakan-akan, kita berharap tasbih yang diungkapkan meliputi segenap aspek di atas.

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan; Sabda Baginda, ‘لَوَزَنَتْهُنَّ’, yakni maksudnya; Kalimah zikir yang diajar oleh Baginda Nabi SAW itu akan melebihi zikir-zikir yang dibaca oleh Juwairiyah, bahkan lebih banyak pertambahan dari sudut ganjaran dan pahala.”

Abu al-Mahasin ketika membincangkan tentang doa yang pendek namun mencakupi makna yang luas, beliau membawakan hadith Juwairiyah di atas. Beliau berkata bahawa hal ini menunjukkan bahawa semua kalimat yang diucapkan manusia untuk mendekatkan diri kepada Penciptanya, hendaklah bacaan itu mengandungi makna yang serupa dengan makna kalimat yang berasal daripada Nabi ini.

Al-Suyuti menukilkan daripada Syeikh al-’Izz bin Abd al-Salam, katanya: “Terkadang, sebahagian zikir lebih utama daripada zikir yang lain kerana zikir tersebut mencakupi dan meliputi semua sifat-sifat (Allah), Zatiyyah dan Fi’liyyah. Zikir seperti ini walaupun sedikit, namun ia adalah lebih utama daripada zikir yang lain yang banyak.

Yang dimaksudkan dengan ‘عَدَدَ خَلْقِهِ’, adalah sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, ‘رِضَا نَفْسِهِ’ adalah (keredhaan Diri-Nya) yang tidak pernah putus, kerana keredhaan-Nya terhadap orang-orang yang diredhai-Nya dari kalangan para Nabi dan para wali-Nya, serta yang lainnya tidak akan terputus dan tidak akan berakhir. Dan yang dimaksudkan dengan ‘زِنَةَ عَرْشِهِ’ adalah sebesar ukuran dan seberat timbangan Arasy-Nya. Dan ‘مِدَادَ كَلِمَاتِهِ’ boleh diertikan dengan sebanyak titisan air lautan. Ada yang mengatakan, sebanyak lautan, dan ada juga yang mengatakan sebanding dengan banyaknya lautan.

Maksud daripada semua ini adalah bagi menunjukkan tidak terhingganya keMAHAsucian Allah. Ini kerana, pada awal zikir itu, telah disebut kalimat yang menunjukkan jumlah, iaitu sebanyak jumlah makhluk dan seberat timbangan Arasy-Nya. Kemudian disebut pula tingkatan yang lebih tinggi daripada itu, dengan kalimat ‘مِدَادَ كَلِمَاتِهِ’, iaitu yang tidak terhitung sebagaimana tidak terhitungnya kalimat-kalimat Allah SWT. Hadith di atas juga menjelaskan kesungguhan Nabi SAW dalam mengajarkan kepada umatnya tentang cara memperoleh ganjaran pahala yang besar dengan amal yang sedikit.


Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita dan menolong kita dalam setiap zikir kepada-Nya.

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a comment