Syahadah Tokku Paloh

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ

Dan aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua yang kaya Ia daripada tiap-tiap yang lain daripada-Nya dan berkehendak oleh tiap-tiap yang lain itu kepada-Nya. Lagi yang bersifat Ia dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan yang maha suci Ia daripada segala kekurangan dan daripada barang yang terlintas Ia di dalam segala hati daripada barang yang tiada patut Ia bagi-Nya lagi tiada beristeri dan tiada anak dan tiada yang memperanakkan bagi-Nya. Dan tiada menyamai Ia pada zat-Nya dan sifat-Nya dan af’al-Nya akan seseorang maka Ialah Tuhan yang menjadi Ia akan segala makhluk yang ‘ulwi-Nya dan syufli-Nya lagi ketunggalan Ia pada mengadakan dan mentiadakan dengan kekerasan takluk qudrat dan iradat-Nya maka terserahlah segala kainat ini semuanya pada bawah perintah-Nya dan tiadalah jenis ‘itirat bagi seorang jua pun akan kehendak-Nya.

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ ٱللَّٰهِ

Dan aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sungguhnya penghulu kita Nabi Muhammad anak Abdullah itu hamba Allah dan pesuruh-Nya kepada sekalian makhluk lagi sangat benar ia pada tiap-tiap barang yang ia khabarkan dengan dia daripada Tuhannya. Maka wajiblah atas tiap-tiap makhluk itu benar akan dia dan mengikut akan dia dan haram atas mereka itu mendusta akan dia atau menyalahi akan dia maka barang siapa yang mendusta ia akan dia maka orang itu zalim ia lagi kafir ia, dan barang siapa yang menyalahi ia akan dia maka orang itu derhaka ia lagi binasa ia. (Mula menadah doa) Mudah-mudahan memberi taufiq akan kita oleh Allah bagi sempurna mengikut akan dia dan mengurnia ia bagi kita akan sempurna berpegang dengan jalannya dan menjadi ia akan kita akan setengah daripada orang yang menghidup ia akan segala hukum syariat-Nya dan memati Ia akan kita atas keagamaan-Nya dan menghimpun Ia akan kita serta perhimpunannya. Demikian lagi segala yang memperanak akan kita dan ahli kita dan segala saudara kita dan yang kasih la akan kita dan segala sahabat kita daripada segala orang yang Muslimin. Amin.


Syahadah berasal dari kata Bahasa Arab yaitu syahada (شهد) yang artinya “ia telah menyaksikan”. Kalimat ini dalam syariat Islam adalah sebuah pernyataan kepercayaan sekaligus pengakuan akan keesaan Tuhan (Allah SWT) dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul-Nya.

Ia adalah asas dan dasar dari lima Rukun Islan, juga sebagai ruh, inti dan landasan seluruh ajaran Islam yang mulia. Pengucapan dua kalimah syahadah menjadi SYARAT PERTAMA bagi seseorang untuk menjadi seorang Muslim. Syahadah terbagi menjadi dua bahagian, iaitu Syahadah Ketauhidan dan Syahadah Kerasulan.

Pengakuan Ketauhidan
Seorang Muslim hanya mempercayai Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan dan tiada tuhan yang lain selain Allah. Allah adalah tuhan dalam erti sesuatu yang menjadi motivasi atau menjadi tujuan seseorang. Dengan mengikrarkan kalimah pertama, seorang Muslim memantapkan diri untuk menjadikan hanya Allah sebagai tujuan, motivasi, dan jalan hidup.

Pengakuan Kerasulan
Dengan mengikrarkan kalimah ini seorang Muslim memantapkan diri untuk meyakini ajaran Allah SWT yang disampaikan melalui seorang ‘Rasul Allah,’ Baginda Muhammad SAW.

Makna Laa Ilaaha Illallah ( لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ )
Kalimah ( لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ ) sebenarnya mengandung dua makna, iaitu penolakan dan bantahan terhadap segala bentuk sesembahan (baik dewa maupun ilah) selain Allah, dan makna penegasan bahwa gelaran Tuhan, Ilah, Dewa atau sesembahan hanyalah milik Allah SAW.

Syahadah mengandung nilai penetapan misi yang merupakan bahagian dari prinsip kekuatan peribadi. Pernyataan di dalam syahadah boleh menjadi batal oleh amalan tertentu. yang merangkumi perkataan, perbuatan, atau keyakinan yang menimbulkan keraguan ke atas syahadah itu sendiri.

عَنْ مُعَاذَ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرَ كَلَامِهِ لَا إِلٰهَ إِلَّا الله دَخَلَ الْجَنَّةَ  

Dari Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu ia berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata; ‘Siapa pun yang akhir ucapannya (ketika menjelang ajal) kalimah La ilaha illallah maka ia masuk syurga’.”


Riwayat Tokku Paloh

Latarbelakang
Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.

Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).

Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Pendidikan
Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah, Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi.

Perjuangan Dakwah
Tok Ku Paloh setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III.

Kegiatan Anti-penjajah
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdur Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah adalah juga murid Tok Ku Paloh.

Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya: Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.


Syahadat Tokku Paloh dituduh SESAT!
Amalan Syahadat Tukku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Hj. Hussein Hj. Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut. Tuan Hj. Hussein tidak menolak kemungkinan tidakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau yang lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau atas alasan yang batil dan fitnah.

Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun1950 itu, Hj. Hussein bercerita; “Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tukku ini.”

Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Hj. Hussein sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini.

“Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadah Tokku. Selesai saya membaca semuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata; “Apa yang Tuan Hj. baca itu ada pada saya”. Rupa-rupanya Tuan Hakim juga mengamalkan ratib Al Hadad dan Syahadat Tukku.

“Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya Tuan Hakim itu pula yang seolah-olahnya mengalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka orang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira”, cerita Hj. Hussein lagi.

Syahadah Tokku yang disusun oleh Wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Leave a comment