Masya-Allah, Alhamdulillah,
Hampir menghampiri 22 Tahun bertugas di SLB (previously Schlumberger) dan hari ini saya tersenyum bahagia. Melenyapkan segala duka dan sengsara yang dirasai sejak di awal penglibatan sebagai ‘Trainee‘ sehinggalah ke satu posisi yang dipegang ketika ini.
Maha Suci Allah,
Antara secebis perjalanan hidup di dunia ‘asing’.
Terasing dari kehidupan normal nya setiap manusia dan terasing dari nikmat berkeluarga. Itulah perjalanan yang di lalui selama ini. Walaupun fizikal dan luaran saya kelihatan ‘Keras’, hakikatnya, terlalu banyak saya tangisi dan Allah jua lah yang Maha Mengetahui.
Selama bertugas di dalam Industri Oil and Gas dan pernah bertugas di 8 buah negara, terlalu banyak perkara pahit manis untuk dikenang dan semuanya ini merupakan azimat kekuatan untuk saya melangkah lebih jauh ke hadapan. Melalui perjalanan panjang ini Allah anugerah kan saya pengalaman yang amat berharga, menemui pelbagai manusia dan mempelajari budaya mereka yang unik. Tidak terkecuali, berjaya mendapatkan beberapa kejayaan serta pengiktirafan hingga bertaraf dunia.
Sungguh,
Segala puji pujian hanya milik Allah, dengan pujian yang melimpah ruah, agung serta penuh keberkahan untukNya.
Sungguh,
Perjuangan ini masih diteruskan bukan kerana mendambakan nikmat dunia mahupun ‘darah menjadi biru‘ tetapi, demi melangsungkan usaha yang selama ini terus berjalan demi pembangunan ummah agar tidak ianya terhenti.
Sungguh,
Itu adalah impian saya malah tidak sesekali ‘mereka’ ketahui hujung pangkalnya. Demi Allah, saya maafkan ‘mereka’.
Sekalung kasih buatmu Bonda yang kini berada di alam sana (Al Fatihah di baca- Semoga di tempatkan bersama para kekasih Allah), Ayahandaku Jamil Ali , Adindaku Ts. Yurizman Jamil, Yusairy Jamil, Nur Aktika Jamil, Permaisuri Hatiku Rapidsza Majid dan sekalian Anakandaku Adam Yuhailmy, Danish Iskandar, Aqil Ziqry dan Noah Luqman di atas segala doa dan pengorbanan yang diberikan.
Tidak dilupakan juga buat teman seperjuangan yang bersama-sama merealisasikan impian agar tugasan dan kewajiban yang di berikan berjaya hingga ke hujungnya.
Kalian adalah guru dan sahabat yang sangat baik buat diriku!
Demi Allah,
Sokongan dan bantuan kalian sangat bermakna. Bersama kita mengenangkan segala memori bersama agar kenangan manis ini dapat menceriakan hari-hari yang mendatang.
Ingat,
Lumrah kehidupan yang mana tidak selamanya kita di atas!
Ujian Allah itu Maha Hebat dan sememangnya ia adalah suatu anugerah buat mereka yang mengerti. Yakinlah, jika menganggap ada hikmahNYA disebalik setiap ujian, maka akan segeralah ditarik kembali olehNya segala musibah.
Rumi pernah berkata;
“Jika engkau kesal terhadap setiap kesukaran, bagaimana cermin mu akan menjadi jernih?”
Wahai diriku yang bahagia,
Tatkala dirimu lemah tidak berdaya malah cabaran kehidupan di dunia sementara ini terus menekan dirimu hingga jatuh tersungkur sekalipun maka, bangkitlah.
Bangkit dengan penuh semangat dan ucapkan lah kalimah suci dengan sepenuh hati…. Allahu Akbar!
Hanya pada-Nya kita berserah diri dan kepada-Nya jualah kita memohon perlindungan.
Buat anak-anak muda yang sering bertanya kepada diriku akan keinginan bertugas di industri ini, ingatlah bahawa wang ringgit bukanlah ‘kiblat utama’. Jika tersalah langkah, menyesalnya diri seumur hidup lamanya. Jika diberi pilihan selainnya, carilah pekerjaan yang mampu memberikan keuntungan buat dirimu, keluarga dan agama.
Buatlah sedikit ‘research’ dan bertanyakan kepada mereka yang sedia ada di dalam industri ini. Jika jiwamu kental dan koordinat tujuanmu benar, silakan dan aku bersedia membantumu dengan perkongsian ilmu yang Maha Kerdil ini.
Alhamdulillah,
Jauh di lubuk hati, saya dapat merasai kebahagiaan di penghujungnya. Tiada sebarang tugasan yang tidak disertakan dengan pelbagai masalah. Pastinya mendidik diri untuk terus maju melangkah ke hadapan. Ada waktu, konflik kerja itu pasti akan hadir. Lumrah kehidupan di dunia Oil and Gas Field.
Sebagai Leader, usahakan agar dapat mengawal diri sendiri juga buat mereka yang berada di bawahan. Bangkitkan sinergy di dalam team. InsyaAllah perkara yang dianggap sukar pasti terasa mudah dengan izin Allah.
Teringat kata Sang Guru;
Ambil lah seketul batu dan lemparkan ke dalam gelas. Pasti akan engkau lihat percikan air itu. Dan jika nasib mu tidak baik, pasti membasahi pakaian mu.
Nah,
Kini ambil lagi seketul batu yang lain. Campakkan lah ke dalam laut yang luas. Pasti akan engkau lihat, tidak terkesan sama sekali walaupun engkau lemparkan dengan batu yang lebih besar dari itu.
Maka, besarkan jiwa dan hatimu!
Syukur ke hadrat Yang Maha Pemberi,
Rezeki kurniaan Allah dapat dkongsikan bersama pelbagai makhluk Tuhan sebelum ini. Walau hanya sekadar yang mampu, jujurnya ianya adalah pemberian ikhlas saya lillahi Ta’ala.
Semoga saya sekeluarga terus kuat untuk mengharungi suatu demensi yang kian baru. Dan semoga, saya terus diberikan kekuatan dan kemuliaan Allah untuk terus berbakti kepada para hambaNya.
Allahumma Ameen.
***
Berapa banyak jalan keluar yang datang sesudah putus harapan,
Dan berapa banyak kegembiraan yang datang sesudah berputus asa.
Adakalanya jiwa ini mengeluh,
Kerana musibah yang menimpa,
Walhal, adanya jalan keluar semudah membuka ikatan.
Apabila semua jalan terasa buntu,
Maka fikirkanlah janji yang ada di dalam ‘Alam Nasyrah‘.
Muhammad Yuhailmy
Sang Pemimpi di Oil and Gas Industry
Still Counting – 2002~2023
Never hope for an easy life but hope to have a heart that is never difficult and never give up!













