BERHALA PERTAMA – HATI/HAWA NAFSU
Zaman ini tidak lagi mendirikan patung dari batu,
Tidak lagi memahat berhala dari kayu,
Dan, tidak lagi bersujud di hadapan arca.
Namun manusia tetap menyembah,
Lebih rakus,
Lebih setia,
Lebih fanatik!
Hakikat,
Berhala zaman ini tidak lagi berdiri di Kuil,
Ia bersemayam di singgahsana hati manusia.
Dahulu,
Nabi Ibrahim alaihissalam memecahkan berhala dengan kapak,
Menyedarkan kaumnya bahawa berhala itu tidak sama sekali berkuasa.
Kini,
Tiada lagi kapak yang cukup tajam,
Untuk memecahkan berhala yang bernama AKU!
Imam Al-Ghazali pernah mengingatkan;
“Apa sahaja yang menguasai hatimu selain Allah, maka itulah Tuhanmu.”
Betapa halus kalimat itu,
Betapa ngeri maknanya buat yang mengerti.
Kerana kini, manusia tidak lagi berkata; “Aku menyembah dunia.”
Tidak juga mengaku; “Aku bertuhan hawa nafsu.”
Sebaliknya mereka berkata;
“Ini adalah realiti,”
“Ini keperluan yang diperlukan,”
“Ini tuntutan zaman!”
Dan dari bahasa yang kelihatan rasional itu,
Maka lahirlah syirik yang paling berbahaya,
Syirik yang tidak disedari oleh mereka.
Hawa Nafsu;
Itulah berhala pertama yang paling dicintai olehmu.
Sedarkah olehmu?
Ia tidak memaksa,
Ia pandai memujuk,
Ia berbisik dengan suara tersendiri.
Manusia tidak lagi bertanya;
“Apa yang Allah redha?”
Sebaliknya bertanya;
“Apa yang aku rasa?”
Apabila rasa dijadikan kiblat,
Maka iman pun berpindah arah.
Solat ditimbang dengan suasana hati semasa,
Aurat dirunding dengan selera,
Haram dan halal tidak menjadi kewajipan,
Segalanya demi keselesaan jiwa.
Inilah berhala yang tidak memerlukan sembelihan darah,
Cukup dengan ketaatan tanpa bantahan.
BERHALA KEDUA – MAKHLUK
Manusia takut kehilangan manusia,
Lebih daripada takut kehilangan Allah Yang Maha Esa.
Takut tidak disukai,
Takut ditertawakan,
Takut dianggap kolot.
Takut dipulaukan.
Lalu kebenaran disenyapkan,
Prinsip dikorbankan,
Agama dijadikan sekadar aksesori,
Bukan lagi sebuah pedoman.
Manusia mula hilang diri sejatinya,
Kerana terlalu ingin diterima dunia.
Hari ini,
Manusia membina akhlak mulia,
Bukan untuk Allah Sang Pencipta,
Tetapi untuk mendambakan segala pujian.
Inilah penyembahan yang paling menyedihkan,
Menjual akhirat,
Demi tepukan sementara.
BERHALA KETIGA – DUNIA
Ia tidak berdiri di satu tempat,
Ia mengepung dari semua arah!
Harta dijadikan ukuran nilai,
Jawatan dijadikan darjat,
Kejayaan dunia dijadikan bukti kebenaran.
Seseorang yang kaya dianggap betul walaupun zalim,
Yang miskin dianggap gagal walaupun bertaqwa.
Imam Al-Ghazali menyebut;
Dunia itu umpama ular yang licin,
Walaupun keindahan terbit dari kulitnya,
Bisanya tetap juga mematikan.
Namun,
Manusia tetap memeluknya,
Sambil hairan dan kebingungan,
Mengapa hati mereka mati perlahan demi perlahan.
BERHALA KEEMPAT – AKAL TANPA WAHYU
Manusia mula berkata;
“Agama itu mesti rasional,”
“Ini tidak logik,”
“Itu tidak relevan.”
Akal yang sepatutnya menjadi hamba,
Kini diangkat menjadi Tuhan.
Wahyu dipilih,
Bukan di taati.
Apa yang selari dengan selera diterima,
Apa yang menegur hawa nafsu akan ditolak.
Inilah kesombongan paling berbahaya,
Tatkla manusia itu menyangka;
Dirinya lebih tahu,
Daripada Yang Maha Mengetahui.
BERHALA KELIMA – DIRI SENDIRI
Inilah puncak segala berhala!
Aku,
Pendapat aku,
Perasaan aku,
Pengalaman aku.
Segala-galanya bermula dan berakhir pada aku!
Allah hanya dipanggil ketika aku terdesak,
Dilupakan ketika aku selesa.
Imam Al-Ghazali menyebutkan;
Ini sebagai hijab yang paling tebal,
Bukan maksiat,
Tetapi merasa diri sudah baik.
Wahai diriku Sang Manusia umat akhir zaman,
Jika patung masih berdiri,
Ia mudah dikenal.
Tetapi berhala dalam hati,
Dipertahankan,
Dibela,
Dipuja,
Dengan hujah dan air mata.
Berhala hari ini tidak meminta korban binatang,
Ia meminta ketaatan hidup.
Dan ramai yang memberikannya,
Tanpa sedar,
Bahawa mereka sedang menyekutukan Tuhan Yang Maha Agung,
Dalam diam, tanpa sedar.
Maka jalan pulang itu masih ada,
Bukan dengan memusnahkan dunia,
Tetapi dengan mematahkan cinta yang berlebihan.
Bukan membenci makhluk,
Tetapi membebaskan hati,
Daripada bergantung kepada mereka,
Bukan mematikan akal,
Tetapi menundukkannya,
Di bawah cahaya wahyu.
Dan bukan memusnahkan diri,
Tetapi menghancurkan keAKUan,
di hadapan Allah SWT.
Kerana tauhid bukan sekadar lafaz,
Ia adalah keberanian untuk berkata tidak,
Kepada semua yang cuba menggantikan Allah,
Di dalam hati dan sanubari.
Dan siapa yang berjaya memecahkan berhala dalam dirinya,
Dialah pewaris sebenar,
Tauhid Ibrahim
Di zaman yang penuh kepalsuan ini.
Muhammad Yuhailmy
Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.
